PERUTUSAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN JELI
Dengan nama Allah S.W.T yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhamamad S.A.W, para sahabat Baginda, salafus-soleh, mujahid, alim ulama’, pejuang-pejuang kemerdekaan, pemimpin-pemimpin terdahulu, negarawan-negarawan yang lebih awal merintis denai semata-mata memastikan Islam terus didaulatkan dan Melayu terus utuh di Malaysia ini.
Marilah kita merafa’kan kesyukuran kepada Allah Azza Wa Jalla diatas inayahNya kita masih memiliki keiltizaman dan keistiqamahan untuk bersama dengan perjuangan yang murni ini dan sekali lagi bertemu dalam Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli 2010.
Terima kasih tidak terhingga kepada pucuk pimpinan parti, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah meneruskan kesinambungan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional dewasa ini. Tidak ketinggalan YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan merangkap Ketua UMNO Bahagian yang begitu prihatin membantu pemuda merangka strategi, mengatur langkah dan menterjemah perjuangan yang terus menerus dengan memastikan “Gagasan 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sentiasa dihati rakyat.
Marilah kita jadikan mesyuarat perwakilan kali ini sebagai satu ruang untuk post mortem atau muhasabah prestasi kita di hari semalam untuk memastikan perjuangan kita dihari esok dapat ditingkatkan dan terus dapat mengekalkan kemenangan di pilihanraya yang akan datang. Sebagai seorang pejuang muda, marilah kita melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan, sama ada ilmu di darat, ilmu di laut, mahupun di angkasaraya untuk kita dapat meneruskan idealisme dan aspirasi kepimpinan hari ini untuk menjadikan Jeli sebagai parlimen contoh.
Akhir kalam, marilah kita melengkapkan diri kita dengan aqidah pejuangan yang sohih, fikrah perjuangan Islam yang syumul bagi memastikan kita menakluk kemenangan dengan tangan kiri, sementara tangan kanan kita memastikan kita memelihara kemurnian perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanahair.
Salam perjuangan dari saya dan barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli.
Sekian, selamat bersidang.
Generasi Pewaris Bangsa
Sdr. Khairul Ikhwaniza Mohd Zahari
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli



Tiada ulasan:
Catat Ulasan